Saturday, February 21, 2009

Berita Harian, 21 Februari 2009


ASIAH, Rasman dan ahli Kelab Rakan Muda Kota Tinggi menurunkan tanda tangan sokongan kepada rakyat Gaza.

KOTA TINGGI: Seramai 60 ahli Persatuan Belia Mutiara Felda Air Tawar 3 dan Kelab Rakan Muda Kota Tinggi menjayakan Kempen Mengumpul Tandatangan dan Bantuan Untuk Belia, Remaja dan Kanak-kanak Palestin sebagai tanda simpati terhadap nasib penduduk Gaza.

Program di Wisma Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Air Tawar 3 itu turut diisi aktiviti lawatan dan menghulurkan sumbangan kepada 15 ahli keluarga kurang bernasib baik dalam tanah rancangan itu.

Pengerusi Persatuan Belia Mutiara, Mohd Faizal Lakimon, berkata 15 keluarga yang menerima sumbangan terdiri daripada golongan kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan mereka yang mengalami penyakit kronik.

Beliau berkata, aktiviti itu sebahagian daripada pengisian aktiviti program Kempen Sokongan Skuad Sukarelawan Remaja Rakan Muda Untuk Belia, Remaja dan Kanak-kanak Palestin.

“Semua tanda tangan akan diserah untuk dicantumkan pada kain rentang dari setiap kawasan Parlimen seluruh negara. Sebagai belia, kami turut simpati dan prihatin terhadap nasib rakyat Gaza, terutama belia, remaja dan kanak-kanak.

“Matlamat kami semata-mata untuk menunjukkan sokongan berterusan terhadap usaha kerajaan dan dunia Islam membantu rakyat Palestin,” katanya.

Mengenai sumbangan kepada penduduk kurang bernasib baik, beliau berkata, objektif utama program itu lebih kepada menjadikan belia sebagai golongan yang rela berbakti kepada masyarakat.

Program sehari itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian dan Warisan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Johor Lama, Asiah Md Ariff.

Hadir sama, Adun Sedili yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian, Rasman Ithnain.

Sementara itu, Asiah berkata, tanda sokongan dan prihatin golongan belia untuk membantu rakyat Palestin wajar dipuji dan dialu-alukan.

“Inisiatif belia mengumpul tanda tangan ini bukan mudah dan mesti disokong. Apabila tanda tangan dari semua 222 Parlimen seluruh negara digabungkan, saya yakin ia akan memberi gambaran positif terhadap belia negara ini,” katanya.


fadzli_hsn@yahoo.com

0 Comments:

Post a Comment