Wednesday, February 25, 2009


BURHANUDIN Tibek (kiri) menyerahkan cek RM500,000 kepada Asiah Md. Arif di Wisma JKKK Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, kelmarin.


KOTA TINGGI 24 Feb. - Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) menghulurkan sumbangan RM500,000 bagi membina masjid baru menggantikan masjid lama di Felda Air Tawar 2 yang sudah berusia 35 tahun di sini semalam. Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIJ, Burhanudin Tibek berkata, sumbangan itu bagi membantu membina masjid baru yang dianggarkan menelan belanja kira-kira RM1.7 juta. "Pembinaaan masjid baru yang akan bermula pertengahan Mac ini dan dijangka siap dalam masa 18 bulan. ''Apabila siap, ia mampu menampung antara 900 hingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa," katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan cek sumbangan untuk pembinaan masjid baru Kampung Felda Air Tawar 2 di sini.

Pada majlis tersebut, Burhanudin menyerahkan cek sumbangan tersebut kepada Jawatankuasa Pembinaan Semula Masjid Air Tawar 2. Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Lama, Asiah Md. Arif; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Rasman Ithnain; Pengurus Besar Felda Wilayah Johor Bahru, Sheikh Abd. Hadi Sheikh Omar dan Ketua Kampung Felda Air Tawar 2, Sharon Ab. Rahman. Burhanudin berkata, sumbangan itu merupakan sumbangan orang ramai seluruh negeri melalui Tabung Pembangunan Masjid (TBM). "Tetapi kadarnya tidak menentu mengikut kesesuaian dan kemampuan kewangan atau dana yang terkumpul di tabung ini," katanya. Menurut Burhanudin, sejak TBM diwujudkan sejak enam tahun lalu ia berjaya memungut dana lebih kurang RM7.9 juta.

Sementara itu, Asiah berkata, beliau sedar tentang keperluan penduduk kampung untuk mempunyai masjid baru yang selesa. Justeru, beliau berharap sesiapa yang berhajat menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan terus kepada akaun Bank Islam nombor 01069010011979 atas nama Jawatankuasa Pembinaan Semula Masjid Air Tawar 2 atau dengan menghubungi Pengerusi JKKK, Sharon. Abd Rahman di 07-8931893 atau 013-7504476. Rasman Ithnain yang juga Ketua UMNO cawangan Felda Air Tawar 2, berkata, masjid baru itu nanti akan mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung. "Para jemaah tidak perlu lagi mendirikan sembahyang Jumaat di luar masjid atau di atas tanah seperti sekarang," katanya.

fadzli_hsn@yahoo.com

2 Comments:

  1. angahnaz said...
    minta penjelasan kenapa penambahan atau extension dilakukan ke atas masjid lama jika sudah ada perancangan ianya dirobohkan dan di bina masjid baru di atas tapak yang sama
    noordin said...
    Kenapa perancangan pembinaan masjid AT2 tidak dibina di kawasaan yang agak tinggi, sedangkan banyak kawasaan lapang yang tinggi masih kosong , seperti bersebelahan dengan klinik.

Post a Comment