Saturday, August 30, 2008

ANUGERAH KEMERDEKAAN



"Sayangkan Bangsa"



Maafkanlah generasi kami
Kerana kurang mengenali
malah tidak mahu ambil peduli
para pejuang kemerdekaan.

Maafkanlah generasi kami
kerana kurang mendalami
sejarah perjuangan 
bangsanya sendiri.

Maafkanlah generasi kami 
kerana kurang menghargai
jerih payah, peluh dan darah
yang telah gugur kebumi.

Maafkanlah generasi kami
kerana terus selamba menikmati
kemakmuran dari kemerdekaan negara ini.

Ya Allah, Maafkanlah kami
kerana tidak tahu mensyukuri 
dan kadangkala mencabuli
Anugerah dan nikmat 
dari kemerdekaan ini.

Bagi kami,
Kemerdekaan adalah Kebebasan melakukan apa saja.
Kemerdekaan hanyalah Hari Cuti
Kemerdekaan adalah Suatu Sambutan Perayaan Negara
Kemerdekaan hanyalah Perbarisan Berwarna Warni
Kemerdekaan adalah Gemerlapan Bunga Api
Kemerdekaan hanyalah kibaran Jalur Gemilang (free)
di rumah dan kenderaan kami 
Kemerdekaan adalah konsert terbesar di Dataran Merdeka 
dan KLCC
Kemerdekaan juga adalah pesta besar pergaulan muda mudi
Kemerdekaan juga adalah menghitung detik 12 malam 
disebalik muzik kuat, cahaya malap, disko dan pub,
sambil menikmati air khayal dan pil exstasi.

Bagi kami,
Kemerdekaan hanyalah hak
Kegembiraan yang pasti akan berkekalan, bukan
Anugerah yang perlu dipertahankan, bukan juga
Nikmat yang perlukan kesyukuran.

Maafkanlah generasi kami
kerana inilah yang diajarkan 
kepada kami selama ini
oleh generasi sebelum kami
saban tahun setiap ogos
sebagai tanda gembira tak terperi
sehingga kami mewarisi 
acara sambutan seperti ini
sebanyak 50 kali.

Kini, 
Untuk yang pertama kali
Bimbinglah kami,
Agar kami tidak mengulangi lagi
(untuk yang ke 51 kali)
Agar kami lebih mengenali dan memahami
Agar kami lebih menghayati dan menghargai
Agar kami lebih mensyukuri dan turut memberi erti
Agar kami lebih layak untuk merasai
nikmat kemerdekaan yang hakiki.

Agar kami dapat turut sama mengisi 
Agar kami dapat turut sama berjuang 
Agar kami dapat turut sama mempertahankan
Kemerdekaan Negara Bangsa Malaysia
yang cuma satu ini. 

Semoga kami tidak dijajah lagi.
Bimbinglah kami 
Maafkanlah kami.

MataHatiJohor@live.com
30hb Ogos 2008

0 Comments:

Post a Comment